Sunday, June 14, 2015

Tiada lagi suara garau Mat Sabu



Tiada lagi suara garau Mat Sabu
Oleh: Rossem


Bangsa Kurdis yang mendiami di tiga negara utama, Iraq, Turki dan Syria pernah melahirkan tokoh Islam terbilang iaitu Salahudin Ahyubi. Panglima perang Islam itu  berjaya mengalahkan panglima perang Salib RichardHati Singa. Dengan kekalahan raja Inggeris itu Baitulmaqdis berjaya ditakluki. Demikian tokoh yang dilahirkan bangsa hebat dalam sejarah perang Salib yang masyhur di abad lalu.

Orang Kurdis tak popular  di Malaysia.  Bangsa itu  asing di negeri ini. Jarang orang Malaysia melihat atau terserempak berjalan-jalan di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, tidak seperti orang Pakistan, Afrika, Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan  Rohingya berlambak di sana sini. Pasar Borong Selayang seperti sudah ditakluki orang Rohingya, Di Bazar,  Nilai, Negeri Sembilan  menjadi Little Pakistan, Chow kit Indonesia. Kesimpulannya, kalau mahu lihat pelbagai bangsa daripada pelbagai ceruk belahan  dunia datanglah ke Malaysia. Yang tak  ada mungkin orang Eskimo.

Bangsa Kurdis menurut Mohamad Sabu, suatu bangsa yang menghormati tetamu. Bila mengunjungi ke rumah mereka, ketika mahu pulang,  tuan rumah akan mengangkat naskah al-Quran dan tetamu harus melalui di bawah al- Quran itu sambil tuan rumah  menjirus air ke tanah tempat laluan tetamu. Tujuannya supaya tetamu itu, di lain kesempatan  datang lagi di rumah mereka. Demikian budaya masyarakat Kurdis yang masih diamalkan sehingga sekarang. Kata Mat Sabu ketika berucap pada Muktamar PAS di Selangor. Mat Sabu sebenarnya ada cerita lain disebalik cerita bangsa Kurdis, yang mahu disampaikan.

Dalam masyarakat kita (masayarat PAS) bila terjadi perpisahan (kalah bertanding),  bukan disirami air sejuk, atau melewati di bawah naskah al-Quran sebagai simbolik kepada “selamat jalan”, sebaliknya  disimbah dengan asid. Kalau tak mati pun, bagaimana andainya mahu datang balik. Mahu bertandang semula  ke rumah lama.  Pasti  tak berguna lagi, mata sudah buta, hidung sudah koyak, telinga sudah robek. Demikian kata Mat Sabu dengan nada sedih.

Bangsa Kurdis bangsa yang melahirkan pahlawan Islam terbilang- Salahuddin Al-Ayubi. Hanya lewat budaya bangsa  yang tinggi nilai peradabannya saja bisa melahirkan sosok terbilang, pembela Islam, pemberani yang digeruni. Kita (PAS),  masih jauh panggang dari api.

Saya dahulu sering menghadiri ceramah Mat Sabu, terutama di Taman Melawar, Kuala Lumpur. Beliau sering bercerita tentang ketakjuban beliau kepada bangsa Arab. Ketika di Lubnan, menyaksikan pejuang-pejuang Islam turun ke medan bertempur dengan Israel. Pemuda-pemuda Arab Lubnan  memiliki wajah yang   cantik, kulitnya putih, kakinya kemerahan, sanggup meninggalkan rumah, mengalas senjata, mencari syahid. Kalau di Malaysia pemuda secantik itu jadi bintang filem. Katanya sambil seloroh.

Mat Sabu yang pernah digelar ayam jagoh PAS oleh Umno, kalah dalam mempertahankan jawatannya Timbalan Presiden PAS yang disandang selama dua penggal. Beliau kalah kepada pencabarnya    Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar Tahunan  PAS Pusat ke 61. Dengan kekalahan itu barangkali nama Mat Sabu akan beransur-ansur dilupakan seperti kita pernah melupakan Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda, walaupun jasanya kepada rakyat Kelantan amat besar ketika menjadi Menteri Besar pada dekad lalu. Antara jasa-jasa beliau ialah membuka tanah LKTN (Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan-1960-1971). Lebih 7,000 peneroka dari seluruh negeri Kelantan yang tidak punya tanah diberi  tanah pertanian percuma di Gua Musang (dulu Ulu Kelantan), Kg. Jakar Tanah Merah dan Kg. Beris Lalang di Bachok (Sekarang harga tanah di Beris Lalang melangit kerana lokasinya berhampiran dengan pusat pendaratan ikan terkenal di Kelantan iaitu Tok Bali).

Sebelum muktamar pengaruh golongan ulama dan professional agak seimbang, pasca muktamar golongan ulama atau  pro ulama kembali menguasai setiap cabang kepimpinan. Ketika Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Ni Mat menjadi   Mursyidul Am PAS, beliau memberi peluang seluas-lusanya kepada golongan “professional” menyertai PAS hingga  ramai dikalangan mereka terpilih menduduki kerusi kepimpinan  parti.  Mat Sabu antara bukan ulama yang  terpilih menduduki jawatan tertinggi parti sehingga menjawat jawatan Timbalan Presiden  selama dua penggal.

Umum bersetuju, PAS sebagai parti politik yang membawa  wadah Islam harus dipimpin golongan ulama. Majlis Syura Ulama adalah tiang seri kepada parti itu. Sesiapa yang menepikan tiang seri itu, maka rosaklah struktur rumah.

 Pada Muktamar PAS ke-61,  Dewan Ulama (sebahagian besar ahlinya menjadi anggota Majlis Syura Ulama) membentang usul memutuskan hubungan politik dengan DAP tanpa bahas. Tindakan keras itu  sebagai tindak balas di atas serangan bertubi-tubi  pimpimpin DAP ke atas Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. DAP juga telah gagal untuk berpegang kepada prinsip "setuju untuk tidak bersetuju" dalam prinsip dan perjuangan bersendiri setiap parti dalam Pakatan Rakyat seperti perjuangan untuk melaksanakan Undang-undang Jenayah Islam. Maka kerjasama politik dengan DAP pun “tutup buku”.

Dulu ada tiga tuku untuk meletakkan periuk bertanak nasi, kini tinggal dua, periuk pun senget. Kesan awal daripada tindakan memutuskan hubungan dengan DAP, lantikan politik di Pulau Pinang dari kalangan orang PAS diminta meletakkan jawatan serta merta.  Mat Sabu orang pertama berbuat demikian (Pengarah PBA Holdings), dikuti dengan Mujahid Yusof Rawa. Kira-kira 1,000 anggota PAS dikatakan memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang. Bukan material yang diutamakan, yang harus difikirkan ialah siapa pula yang bakal mengisi jawatan (politik) itu. Bagaimana nasib pendokong PAS di Pualau Pinang?


“Lim Guan Eng cepat sangat, gopoh sangat...masa kita buat keputusan itu dulu, bukan nak suruh putus serta-merta. Kita nak suruh rujuk pada Majlis Syura," kata Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz  merujuk usul yang di bawa sayap parti itu ketika muktamar di Kuala Selangor. Nadanya seperti sedikit kesal. Apa pun, nasi sudah menjadi bubur, tapi bubur  juga boleh dimakan. Amat sesuai untuk orang tua yang tak punya gigi. Kita khuatir dengan situasi dan kondisi yang melanda PAS,  parti itu akan ditinggalkan oleh anak-anak muda yang utuh giginya. Kalau hal ini terjadi, maka PAS akan kembali kepada zaman  mula ia ditubuhkan  iaitu  milik orang-orang pondok dan ustaz. Tapi saya tak percaya.  PAS tetap  kekal menjadi wadah perjungan alternatif bagi bangsa Melayu, lebih-lebih lagi setelah melihat UMNO ketandusan tokoh yang boleh memimpin parti itu dalam mengangkat martabat orang Melayu.  

Melihat kepada keputusan pemilihan kepimpinan PAS pada muktamar lalu yang dimenangi golongan ulama dan pro ulama dengan menepikan golongan professional , namun dikalangan yang dikatakan ulama ada yang sekaligus professional . Golongan ini, selepas menamatkan pengajian Islam  di universiti Timur Tengah mereka mengambil PhD  di Eropah. Mereka berkebolehan  mentadbir dengan baik.

Yang mengkhuatirkan ialah ustaz-ustaz yang baru tamat pengajian dari  universiti-universiti  Islam Timur Tengah, pulang ke tanah air terus menyertai PAS, bila diberi peluang bercakap tak selari dengan tokoh-tokoh lama PAS. Contohnya; ada yang mengeluarkan kenyataan, kalah dalam pilihan raya  pun tak apa, keredhaan Allah jua yang kita inginkan. Berbeza dengan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat “ Kita mahu kerusi,  kerusi itu kuasa (kerajaan), bila dapat kuasa baru boleh menjalankan hukum Islam”. Kesimpulannya, satu saranan walaupun juga benar tetapi boleh melemahkan semangat juang ahli,  dan satu saranan lagi upaya  membangkitkan semangat untuk bekerja keras demi  mencapai kemenangan, sekaligus mendapat keredhaan Allah.






1 comment:

  1. Buat usul dan sokong usul gunapakai lutut akhirnya kantoi

    ReplyDelete