Monday, June 29, 2015

Semuanya selepas aidilfitri



Semuanya selepas aidilfitri
Oleh: Rossem

Hari raya aidilfitri 1436H pun tiba.  Ramadhan ditinggal pergi. Sesiapa yang  berusia 60 tahun pada Ramadhan lalu, bererti ia sudah menjalani ibadat puasa hampir 50 bulan, setelah ditolak zaman belum baligh. Orang-orang yang beriman menitis air mata setiap kali  Ramadhan berlalu.  Orang  yang kurang iman gembira boleh makan siang. Apa pun Ramadhan menguji kesabaran kita dalam segenap aspek. Antara nafsu sarakah dan  akal  sehat yang didorong oleh keimanan yang kental berperang tanpa gencatan senjata selama sebulan penuh, masing-masing mahu menewaskan satu sama lain. Medan tempur adalah kita. Lokasinya ialah seketul hati yang disembunyikan di dalam kubu yang dibina dari  tulang rusok. Dalam peperangan itu ada yang menang, ada  yang tewas. Namun siapa mencapai kemenangan, Allah saja yang Maha Mengetahui. 

Di Bazar Ramadhan yang diwujudkan di setiap taman perumahan, lorong, di kota dan desa, manusia berpusu-pusu memilih untuk membeli juadah berbuka. Kita juga hairan, kata ekonomi meleset, nilai ringgit turun menjunam, minyak naik, harga barangan melambung, tapi pengguna bersesak-sesak di bazar ramahdan seperti suasana dalam bas mini di Kuala Lumpur tahun 1970an. Kalau tiba lewat, jam 7 sore,  sebahagian makanan sudah habis. Itu menunjukkan rakyat Malaysia dari kalangan Melayu Islam masih mampu berbelanja besar untuk berbuka puasa.  Barangkali melihat “kemewahan” itu mendorong kerajaan tak teragak-agak menaikan harga minyak beberapa kali dalam setahun dan GST. 

Di rumah,  hidangan penuh meja, beraneka jenis kuih- Cik Mek Molek, akak, teri mandi, buah mulung, mee goreng, laksa penang, sementara lauk pula, ikan kembung, ayam  percik, daging bakar, tom yam, telur dadar, tak ketinggalan juga ulam, sampai tak tahu yang mana satu hendak dimakan. Kalau ada lima orang anak, lima jenis minuman disediakan- air serbat, air tebu, air kelapa, air soya, kerana selera minum anak-anak berbeza.

Perbuatan itu semuanya didorong oleh nafsu. Sepatutnya di bulan puasa kita bisa  berjimat cermat kerana tak makan siang. tetapi  berlaku sebaliknya. Itu dinamakan; telah terkena jerat hawa nafsu.

Ramadhan bulan ibadat. Nikah kahwin walaupun juga dikira ibadat tetapi tak dilakukan dalam bulan puasa atas sebab-sebab tertentu. Saya banyak menerima undangan majlis perkahwinan, semuanya berlangsung selepas hari raya aidilfitri. Jadi, selepas hari raya ini banyak kerja yang harus kita penuhi.

Yang akan berlaku juga selepas aidilfitri ini ialah penubuhan parti baru serpihan PAS. Olehkerana parti itu belum lahir maka namanya belum diberikan. Hanya desas desus mengatakan “Parti Islam Progresif”. Kalau benar menggunapakai  nama itu, kita dilanda kehairanan,  bolehkah Islam ditempel dengan istilah lain?.  Dulu kita pernah dengar Islam Sosialis dibawa Kassim Ahmad.  Hakikatnya nama-nama itu mengambarkan Islam  sepertinya tak lengkap, walhal Islam itu al din.  Mungkin akan datang muncul pula parti Islam liberal. Makin bercelaru!

Di Malaysia menubuhkan parti serpihan bukan sesuatu yang aneh, Umno sudah mengalaminya beberapa kali. Datuk Onn Jaafar meninggalkan Umno menubuhkan Parti Negara. Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. Tengku Razaleigh dianggap hebat  ketika itu kerana disokong bekas Perdana Menteri  Tengku Abdul Rahman Putra dan Hussain Onn,  namun ternyata gagal bertahan,  akhirnya dibubarkan.

PAS lagi banyak melahirkan parti serpihan. Antaranya Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), Berjasa, Islah dan beberapa lagi yang kurang terkenal. Hamin dipimpin oleh bekas Presiden PAS Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham), sementara Berjasa di pimpin mantan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Mohd Nasir. Kedua-dua parti itu berkubur juga akhirnya. Kecuali  Berjasa dengan pertolongan rakannya Umno dapat merampas Kelantan dari tangan PAS, kemudian parti itu ditelan Umno- mati. 

Dalam konteks PAS, menubuhkan parti baru oleh kalangan mereka yang keciwa kerana tak terpilih dalam Muktamar kelmarin jangan dipandang sebelah mata, apalagi mentertawakan, kerana kesannya sangat besar. Walaupun saya  yakin parti itu kelak akan menerima nasib yang sama seperti Hamim dan Berjasa, namun dengan kondisi yang berlaku  akan membantutkan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.  

Berdebar-debar menunggu  apa yang akan berlaku selepas Aidilfitri ini. Samada parti baru ditubuhkan atau tidak. Samada perpecahan dalam PAS bertambah melebar atau berkurang. Sepertimana sebelum ini ramai mengharapkan muktamar PAS di Kuala Selangor dapat menjernihkan hubungan politik PAS-DAP, namun ternyata, keputusan muktamar tidak membawa kepada kejernihan hubungan dengan DAP,  sebaliknya makin parah, ialtu memutuskan hubungan dengan  parti yang sama-sama membentuk Pakatan Rakyat (PR). 

Seorang petugas parti pernah meluahkan perasaan kesal dan keciwa  kepada saya” Kita bekerja keras bertahun-tahun membina rumah, akhir dalam sekelip mata rumah itu dirobohkan Tok Ketua Rumah”.

1 comment:

  1. apa yg berlaku adalah proses membersihkan dan mematangkan PAS - biar mereka yg pentingkan jawatan, pentingkan kemenangan serta bersekongkol dengan parti orang kafir keluar dari PAS

    PAS perlu tegas dalam perjuangannya - jangan taksub menghalalkan cara untuk menang - yg penting mendapat keredaan Allah SWT

    ReplyDelete