Friday, March 15, 2013

CATARAN 16 MAC 2013



Malam Penghargaan Karyawan 2013
Kelantan bumi bertuah! Negeri yang bukan saja melahirkan ramai ulama sejak dulu sehingga sekarang, bahkan  sasterawan juga ramai lahir di negeri ini. Tokoh  awal antaranya Almarhum Abdul Kadir Adabi. Sebatang jalan raya di Kota Bharu diabadikan dengan nama beliau.  Almarhum Dr.  S. Othman Kelantan yang terpilih sebagai sasterawan negara juga orang Kelantan. Putra beliau, S.M Sakir  seperti bapanya, bergelar sasterawan ketika masih muda.

 Nama-nama lain ialah mantan editor majalah Pengasuh, Abdul Razak Mahmud.   Saya menyapanya ustaz, terkenal sebagai penulis sejarah terutama terkait dengan sejarah ulama-ulama besar Kelantan. Salleh Mat Akib juga penulis sejarah. Norhisham Mustafa menulis dalam semua genre. Karya beliau boleh ditemui dalam bentuk novel, cerpen, esei, drama radio, kritikan sastera dan  lain-lain. Peminat sekeliling pinggang.

 Wadi Leta SA,  menulis sajak sejak tahun 1970an sehingga sekarang masih berkarya. Sebaris dengan beliau ialah Darma Muhammad, Wan A. Rafar, Rosli K Matari, Azmi Yusof, Abdul Hadi Muhamad, Abdul Hadi Yusof, Leo AWS, Abham TR, Almarhum Mustafa Jusoh.  Mazli Husma, Rezeki Othman, Zainal Abdin Muhamad, Zizze Setapa, M. Arif, Ezani Hj. Daud, Meriam Awang Lah, Salman Sulaiman  dan sederet panjang  lagi. Manakala  cerpenis pula nama-nama seperti Wan Aisyeh Wan Nawang, Hashim Latiff, Nik Azman Nik Mustafa tak boleh ditinggalkan. 

 Yang masih muda tapi cepat melonjat terkenal  ialah penyair asal sekampung denganku, teman akrab S.M Sakir iaitu Rahimidin Zahari. Karyawan di Istana Budaya  Kuala Lumpur itu banyak mengondol   award dan sering dijemput ke majlis bicara sastera. 

 Kelantan juga melahirkan penulis dua dalam satu, iaitu penulis sekaligus ulama, seperti  Haji Mohamad Yusof atau Tok Kenali. Almarhum pernah menjadi editor majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama Islam  dan Adat Istiadat Melayu  Kelantan tahun 1800an. Haji Abdullah al-Qari yang tinggal di Kubang Kerian juga menghasilkan buku-buku agama dengan  jumlah ratusan. 

 Penulis buku-buku politik terkenal, Mohd Sayuti Omar (MSO) orang Kelantan. Pengamatannya terkait politik tajam seperti mata pisau.  Ditakuti orang-orang  politik, sama ada dari kem Hijau, Biru atau biru muda. Begitu juga Lotfi Ismail arau nama akrab Pak Lotfi dewasa dalam dunia penulisan politik. Sementara penulis dari kelompok akedemik seperti Dr. Hashim Yakob juga tak kurang hebatnya.

 Bicara soal sasterawan Kelantan, nama Dr Abdul Aziz Deraman tak boleh  ditinggalkan. Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Putaka itu antara tokoh yang sama-sama memperkayakan  khazanah sastera  Negeri Cik Siti Wan Kembang. 

 Tadi malam, 15 Mac 2013,  di sebuah hotel berbintang membelakangi Sungai Kelantan, Kerajaan Negeri  yang dipimpin Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menyampaikan warkah penghargaan khusus dengan sedikit sumbangan material  kepada sebahagian daripada nama-nama yang disebut itu dalam sebuah majlis khas “Malam Penghargaan Karyawan Kelantan 2013”. Turut menerima penghargaan ialah pelukis terkenal Kelantan, Ismail Kadir dan  Muhammad Jusoh serta  kartunis editorial Rossem. Tak dilupakan ialah  Tokoh Pemidato terbaik dan terkenal  sekitar tahun 80 an dan 90an, ketika mudanya belajar di salah sebuah universiti terkenal Jogjakarta, Indonesia,  iaitu Almarhum Ustaz Bunyamin Yakob. Anak lelaki Almarhum naik ke pentas  menerima sedikit sumbangan material dari Tuan Guru.

 Kemuncak majlis  ialah penganugerahan penghargaan kepada Tokoh Persuratan Kelantan kepada sasterawan terkenal Norhisham Mustafa. “Saya sedar ramai lagi sosok penulis yang tak tersenarai untuk menerima penghargaan pada malam ini, tapi semua ada dalam ingatan  kami, Insyallah di tahun-tahun mendatang, giliran yang lain pula” Ujar Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Kerajaan Kelantan, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan.




No comments:

Post a Comment