Tuesday, March 23, 2010

Galeri Kartun Rossem TerimaTetamu







Oleh: Rossem

Katanya, susah sangat mahu menghubungi saya. Lalu ia cuba mendapatkan nombor telefon daripada Utusan Melayu (UM). Saya pun tidak tahu siapa individu yang dimaksudkan di UM itu. Namun hampa. Sebaliknya individu UM meminta pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) itu agar menghubungi saja pejabat akhbar alternatif nombor satu di Malaysia, iaitu Harakah, kerana katanya, Rossem juga melukis kartun di akhbar tersebut. Malangnya tidak juga berhasil. Sebaliknya orang tertentu di Harkah pula meminta menghubungi Kerajaan Negeri Kelantan. Setelah menghubungi, ternyata berhasil mendapatkan nombor telefon saya.

Bunyinya hebat. Sepertinya sosok yang bernama Rossem itu orang “hebat”, walhal orangnya kerdil. Tidak punya apa-apa untuk dibanggakan. Sekadar seorang kartunis cuma. Mungkin kesukaran untuk mendapatkan nombor telefon saya justeru disebabkan tersilap jalur, menghubungi orang yang sememangnya tidak menyimpan nombor telefon saya. Atau biasa juga disebut, tersalah line!.

Setelah nombor telefon saya di tangannya, lantas segera menghubungi. Seperti biasa, memperkenalkan diri dan menyatakan hasrat tujuan. Saya sedikit kaget. Hati nurani saya yang paling dalam pun bebisik bila mendengar tujuan beliau ingin berjumpa saya.

“ Iya bang. Saya penuntut tahun tiga UITM, Shah Alam, dalam bidang grafik digital media, mahu membuat tesis atau skripsi tentang abang. Aktivitas abang sejak mula terjun dalam bidang kartun sehinga sekarang”. Kata sang pelajar.

“ Apakah saya layak untuk dijadikan bahan tesis?, sedang kartunis lain, lebih hebat dan terkenal”. Tanya saya sedikit kehairanan.

“Iya, tapi abang seorang kartunis politik veteran yang sudah lebih satu dekad bergelumang dengan dunia kartun. Kritik-kritik abang lewat lakaran kartun bisa mengajak pembaca berfikir tentang apa yang berlaku di sekitar kita, masyarakat kita, bangsa kita dan tanah air kita”.

Ciri-ciri karakteristik kartun seringnya mengumpan rasa lucu, justeru banyak fungsi bisa dijalankan oleh seni kartun. Ia bisa mengajar, mendakwah, mengejak, mentertawai, menghibur berlucu-lucu, menanggapi sesuatu peristiwa dan lain-lain.

Pendekatan kartun terhadap realiti faktual sedemikian rupa sampai ia membuat destorsi terhadap kenyatan tersebut, namun tanpa kehilangan ciri-ciri yang menonjol dari realiti tersebut. Malahan sebaliknya dengan destorsi tersebut dipertajam ciri-ciri khas dari kejadian dan peristiwa yang terjadi dan dalam ketajamannya itulah sesuatu pesan atau maksud disampaikan. Tentunya pesan-pesan yang baik, yang didalamnya ada unsur-unsur dakwah Islamiyah.

Demikian fungsi kartun yang saya sampaikan kepada anak-anak muda pelajar dari UITM pagi itu, pada kadar yang sangat terbatas dan ringkas.

Sebelumnya, para pelajar UITM tersebut menyebut “ Di Malaysia hanya terdapat dua kartunis saja yang melukis kartun-kartun satira politik, iaitu Rossem dan Zunar”. Saya tidak mahu komen seputar itu, dan tidak pula mahu menidakkannya. Kebarangkalian ada benarnya pernyataan para pelajar jurusan ilmu grafik media itu.

“Kalau demikian persepsi saudara, saya tidak keberatan untuk berjumpa dan memberi kerjasama”. Kata saya lewat telefon.

“Terima kasih bang”. Balas pelajar itu- Sofrie.

Perbincangan lewat telefon hari itu, berkesudahan dengan menetapkan hari dan tanggal kapan mahu datang ke Kelantan. Sebaik-baik tempat perjumpaan dan wawancara ialah di Galeri Rossem, Lot 1976, Jalan Bachok, Kota Bharu. Di galeri itu terdapat banyak lukisan-lukisan kartun lama dan baru hasil karya Rossem diperagakan sejak geleri itu mula dibangunkan kurang lebih tiga tahun lalu. Sambil wawancara dapat melihat sendiri kartun-kartun original yang tersimpan di situ dalam kondisi yang terjaga dan tersusun rafi.

Sabtu pagi, tanggal 20 Mac 2010, sebuah mobil berwarna hitam memasuki perkarangan galeri, empat anak muda turun, memberi salam, seterusnya bersalaman dengan saya yang sudah menunggu.

Saya mempersilakan masuk ke galeri. Hari itu cuaca agak panas, sedang alat hawa dingin belum dipasang dalam galeri (rencana mahu meminta bantuan individu atau kerajaan negeri/persekutuan untuk menyumbangkan dua pendingin udara), namun suhu panasnya tidaklah menjadikan dahi tetamu berpeluh, kerana di dalamnya terdapat dua buah kipas angin.

Seperti sering saya lakukan. Sesiapa yang mengunjungi Galeri Rossem, akan saya hadiahkan sebuah komik dakwah berjudul “ Mencari Kebenaran- Suatu Dialog Islam-Kristian”. Sebuah kisah benar yang terjadi di Indonesia, karangan Kyai Haji Bahaudin Mudhary, yang kemudiannya, dengan kerjasama Persatuan Ulama Malaysia, saya melakarkannya dalam bentuk kartun supaya menarik minat kelompok remaja membacanya, kerana sebelum dikomikkan buku itu ternyata tidak ramai yang tertarik, bahkan tidak dikenali langsung.

Selanjutnya tentang para pelajar UITM yang bertamu ke galeri saya pada pagi itu. Mereka ialah; Sofrie Adry, Faizal Asmara, Kamal Hilmi dan Calvin Tony. Dua pelajar berasal daripada Sabah iaitu Calvin Tony dan Hilmi.

Selesai pengajian nanti, ada masa datang lagi…!

Saturday, March 13, 2010

Solat Sunat Istisqa’, Maulidul Rasul dan Kelantan.


Oleh: Rossem

Pagi itu cuaca redup. Hujan pada sebelah malamnya diheret ke pagi. Tumbuhan-tumbuhan kembali segar. Bumi Kelantan mendapat rahmat hujan pertama kali setelah dua bulan mengalami kemarau dan suhu panas yang luar biasa. Ramai warganya diserang demam dan batuk-batuk.

Pagi kelmarin, Jumaat, ribuan jamaah muslimin dan muslimat melakukan solat sunat Istisqa’ atau solat sunat mohon hujan di Padang Perdana, Kota Bahru. Diimani sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tok Guru, sebagai seorang pemimpin atau kepala penguasa yang prihatin terhadap ummah melihat fenomena kemarau dan cuaca panas melampau ini boleh mendatangkan ancaman kepada manusia, haiwan dan tumbuhan di negeri ini, lantas mengarahkan seluruh rakyat berkumpul di lapangan untuk memohon kepada Allah SWT agar diturun-Nya hujan.

Tok Guru melihat tanda-tanda kemarau akan berpanjangan sudah jelas, seperti air Sungai Kelantan yang semakin cetek, pasirnya timbul di sana sini. Sedangkan Sungai Kelantan merupakan sumber utama air untuk kegunaan rakyat negeri ini. Selain rumput-rumput di padang sudah mula bertukar warna menjadi kering kekuningan.

Sesuatu yang dikira ajaib. Saat ribuan para jamaah sedang mengamimkan doa, hujan pun turun, dan hujan rahmat itu terus menerus membasahi bumi Kelantan dari petang, malam sehingga ke pagi hari Sabtu keesokannya.

Apa yang dipraktikkan Tok Guru, adalah berdasarkan contoh tauladan yang pernah dilakukan Rasulullah saw, kerana contoh tauladan terbaik hanya datang dari Baginda, dan hanya tauladan yang ditunjuki Rasulullah saw saja patut menjadi ikutan setiap bergelar Muslim. Dalam hal ini, termasuk juga solat sunat Istisqa’ atau solat sunat minta hujan seperti dikerjakan Tok Guru.

Selanjutnya, masalah yang melanda umat Islam sekarang semakin bertambah. Fenomena kemarau, gempa bumi, tsunami banyak berlaku di kebanyakan negara yang dihuni umat Islam. Sehingga angka korban setiap kali bencara itu mencerceh hingga puluhan ribuan jiwa.

Masalah sosial umat Islam juga tersangat parah dan mengkhuatirkan. Pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dianggap sebagai kewajaran dalam dunia moden sekarang. Ibu bapa tidak upaya lagi melarangnya. Mereka lebih takut dimarahi anak-anak daripada dimuraki Allah SWT.

Kehidupan sebahagian remaja yang semakin jauh daripada Islam menjadikan kondisi masyarakat Islam kini terconteng arah di muka. Hilang harga diri dan maruah. Saban hari kita menyaksikan lewat siaran akhbar dan televisyen, remaja perempuan melahirkan anak luar nikah. Malah lebih sadis, bayi yang setengahnya masih bertali pusat itu dibuang ke dalam tong sampah atau dicampak ke sungai di makan anjing atau ikan. Seperti, baru-baru ini di Kuala Krai, bayi yang baru lepas bersalin di buang ke dalam tong sampah, kemudian dibakar untuk menghilangkan bukti.

Inilah pemasalahan bertahap kritikal yang melanda umat Islam sekarang. Sedang di ketika yang sama, para pemimpin politik yang menguasai pemerintah pusat seperti tidak tahu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan umat Islam dan maruah ummah yang tercalar balar ini.

Maka benarlah seperti kata, Pengarah Eksekutif Kolej Islam Antara Bangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr Johari Mat, saat menyampaikan kuliah pada majlis Sambutan Maulidul Rasul di musola Pasar Peringat pada pagi Sabtu, 13 Mac 2010. “Selagi Umat Islam tidak mengenal masalah selagi itu mereka tidak dapat menyelesaikan masalah”.
Pokok pemasalahan umat Islam sekarang ialah kegersangan iman yang dimiliki. Atau dengan kata lain bahkan “tidak beriman” langsung. Kerana jika masing-masing beriman, pasti tidak berlaku gejala sosial seperti berleluasa sekarang.

Malangnya pemerintah umat Islam hari ini hanya memerintah dalam kerangka dunia semata-mata. Mereka hanya sekadar menyumbang kepada kesejahteraan rakyat selama di dunia, sebaliknya program untuk kehidupan sesudah mati (akhirat) tidak pernah diadakan. Kerana pemerintah jenis ini bersandarkan kepada sistem sekularisme iatu agama dengan pemerintahan tidak boleh bercampur. Kerana sekukarisme yang diagung-agung itu lahir dari rahim Yahudi dan Nasrani yang bertujuan untuk merosakkan umat Islam. Sedang kita mengambilnya bulat-bulat.

Dalam hal ini, orang Kelantan bernasib baik. Mereka dapat menarik nafas lega, kerana negeri itu ditadbirkan oleh sebuah parti yang berpaksikan Islam, yakni PAS. Pemimpin mereka yang berkarisma seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa membimbing rakyatnya merintangi dua alam iaitu alam dunia dan alam akhirat.

Semoga hujan rahmat terus menerus membasahi dan menyegarkan bumi Serambi Mekah yang dicintai ini!.

Sunday, March 7, 2010

Penderaan politik juga zalim seperti penderaan kanak-kanak

Oleh: Rossem

Kalau Malaysia diibaratkan seorang lelaki. Ia seorang lelaki yang gagah perkasa. Kerana itu ia berpoligami. Isterinya bukan dua, bukan tiga atau empat, tapi tiga belas. Semuanya cantik, angun dan bergaya. Isteri -isteri itu ialah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Hak suami terhadap isteri dan hak isteri terhadap suami sudah jelas. Masing-masing tahu tanggungjawab masing-masing. Suami saat diminta melafaz taklik di depan imam menyebut; bahawa aku akan memberi perlayanan yang seadil-adilnya kepada setiap isteri ku. Nafkah yang secukupnya. Dan sekali-kali tidak akan sakiti rohani dan jasmaninya.

Kasih dan cinta sang suami jangan sekali-kali bertompok kepada isteri-isteri tertentu yang disayanginya saja. Jangan pilih bulu. Konsep samarata dan samarasa harus ditegakkan dalam setiap aspek kehidupan berumahtangga. Keadilan harus berada di posisi paling depan. Barulah akan terbina syurga dalam rumahtangga itu. Demikian manisnya poligami.

Namun realitinya sering saja mati di tengah jalan. Tanpa segan dan malu sumpah taklik dilanggari. Ada saja helah dicari. Bersenandunglah lagu rentak sumbang dari mulut –mulut para seniman politik jalanan, sehingga bukan sedikit khalayak terpengaruh, juga ada yang bingung terus.

Semua itu dilakukan bertujuan agar nafkah yang sepatutnya diberikan kepada salah seorang daripada isterinya itu terus disekat. Walhal dalam kondisi apa sekalipun, selagi ia bergelar suami maka ia bertanggungjawab memberi nafkah terhadap isterinya walaupun ia membenci isterinya itu.

Siapa isteri yang dibenci suami itu? Tidak lain ialah Kelantan. Sebuah negeri di Pantai Timur yang sudah 20 tahun diperintah PAS. Kenapa pula dibenci? Seperti sering disebut-sebut orang; mereka membenci negeri itu kerana majoriti rakyatnya memilih parti Islam untuk mentadbir negeri itu, sekaligus menolak parti nasionalis UMNO dalam setiap plihan raya umum.

Itulah antara kesalahan rakyat Kelantan sehingga segala hak yang sepatutnya diperolehi menurut “taklik” telah dinafikan.

Royalti minyak adalah hak rakyat Kelantan menurut perjanjian. Tiba-tiba disekat dengan seribu alasan , walhal dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan jelas mengatakan; Kelantan berhak mendapat lima peratus royalti atau wang tunai, kerana bahan bakar itu dijumpai di perairannya.

Tidak timbul alasan kononnya Kelantan tidak nerhak menuntut royalti minyak kerana lokasi perlombongan itu berada lebih daripada tiga batu nautika (5 kilometer) dari pantai negeri itu. Sedangkan negeri Terengganu pernah diberi royalti selama 22 tahun berturut-turut dari 1978 hingga 2000 selepas minyak dijumpai sekitar 150 kilometer dari pantai Terengganu.

Saat Petronas ditubuhkan tanggal 15 Noveber 1974, langkah awal ialah meminta semua negeri-negeri persekutuan menandatangani, sekiranya minyak dijumpai sama ada dalam kawasan tiga batu nautika atau di luar tiga batu nautika maka negeri-negeri tersebut berhak memperolehi royati atau wang tunai sebanyak lima peratus dari Petronas.

“Butiran perjanjian itu sangat mudah difahami, budak sekolah rendah pun boleh faham, tapi yang menghairankan ia masih sukar difahami pemimpin tertentu” Kata Tengku Razalaigh Hamzah sewaktu menyampaikan pidato penjelasan tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan di Stadium Sultan Mohamamd Ke-IV.

“Dalam mentafsir undang-undang ramai yang jadi bodoh sekarang” Kata Datuk Hj Wan Mutalib Embong, mantan exco PAS Terengganu saat berucap pada majlis diskusi Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang, di Komplek Balai Islam, Kota Bharu, 6 Mac 2010.

Tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung dalam merangka dan menyemak draf perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri-negeri sudah pun tampil memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan hakikat sebenar perjanjian yang dimeterikan dulu. Antaranya, mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Dr. Mohd Salleh Abas, mantan peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Nik Syaghir Nik Mohd Nor dan mantan pegawai kanan Petronas, Hj Mohd Hassan Salleh.

Mereka adalah tokoh yang sangat arif tentang butiran perjanjian itu, justeru opini mereka mudah diterima rakyat Kelantan. Maka tepatlah seperti kata Wan Mutalib Embong “ Kalau tidak terima apa yang keluar dari mulut kuda, apakah anda mahu terima apa yang keluar dari mulut lembu?”.

Selanjutnya ditegaskan lagi oleh para panelis. Berlakunya hal-hal seperti itu tidak lain kerana di dalam hati mereka bersarang sifat-sifat tamak haloba. Tidak mahu melihat penguasa di Negeri Serambi Mekah itu menggunakan wang royalti minyak yang jumlahnya billion untuk membangun negeri dan masyarakat, kerana jika negeri dan masyarakat terus maju, Islamnya mengembang, ternyata sangat sukar bagi kelompok itu untuk merampas kembali Kelantan dari tangan PAS.

Justeru apa yang berlaku hari ini berupa “penderaan ” politik semata-mata. Dan ternyata penderaan politk itu lebih zalim daripada penderaan ke atas kanak-kanak seperti sering dilapor akhbar sekarang.