Friday, February 26, 2010

Royalti Hak Rakyat Kelantan


Judul buku : Royalti Hak Rakyat Kelantan
Penyusun : H. Rosidi Semail
Penerbit : Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan
Harga : Percuma

Tuntutan royalti minyak oleh rakyat dan kerajaan Kelantan menjadi isu besar. Ia menjadi polimik berpanjangan. Dibahaskan di merata-rata, bukan saja di pentas-pentas ceramah bahkan di warung-warung kopi. Sambil menghirup kopi panas yang dicampur Ginseng atau Tongkat Ali, Abang-abang, pakcik-pakcik, Tok Wan dan Tok Ayah berbicara dengan lancar sekali, seperti bicara seorang Wakil Rakyat dalam mempertahankan hak Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak yang cuba dinafikan oleh kerajaan pusat.

Kenapa mereka tiba-tiba sangat arif dalam menjawab setiap aspek persoalan mengenai isu royalti? Kerana mereka mendapat faktanya dari buku Royalti Hak Rakyat Kelantan.

Buku setebal 48 muka surat ini dimuatkan penjelasan terperinci tentang di mana letaknya telaga khazanah Negeri Kelantan, serta penjelasan oleh tokoh-tokoh yang terlibat sendiri dengan perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri suatu ketika dulu. Juga kenyataan oleh Tun Dr. Salleh Abas, Bekas Ketua Hakim Negara, yang bertanggungjawab menyemak kerangka perjanjian.

Tidak ketinggalan ialah kenyatan mengenai royalti minyak oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain. Seperti katanya. “Tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontrektor-kontrektornya.” ( Tercatat dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 24 November 1974 muka surat 2371).

Allahyarham adalah pemimpin UMNO. Namun pandangan jauhnya mengatasi kepentingan politik kepartian. Kenapa hasrat baik itu kini mahu dicemari? Mengapa niat baik dan teladan mulia seperti itu hendak dilanggari?
Kita terbentuk dari sejarah. Kita menjadi mulia dengan menghormati apa yang telah terukir dalam sejarah sebagai ikatan persetujuan semua pihak melakarkan kepentingan masa depan anak cucu dan negara tercinta atas dasar menghormati hak dan menunaikan kewajipan seperti termaktub dalam persetujuan dan ditulis dalam bentuk sebuah perjanjian.

Al Qur’an sangat mementingkan patuh pada perjanjian. Antara lain Allah berfirman;“Dan orang-orang yang (beriman itu) memelihara dengan sebaik-baiknya amanat-amanat (yang diserahkan padanya) dan perjanjiannya”.
(Al Ma’arij: 32 )

Munajat Rakyat Kelantan

Oleh: Rossem
Walaupun sudah jelas pertolongan dari Allah SWT, Rasulullah saw tetap merancang dan menyusun strategi. Inilah sebahagian dari sirah Rasulullah saw dalam perang Badar.

Tidak hanya merancang, Rasulullah saw juga berdoa. Seperti diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah saw berdoa hingga serban baginda terjatuh beberapa kali; Ya Allah, orang-orang Quraisy telah datang dengan kesombongannya. Mereka ingin mendustakan Rasul-Mu. Ya Allah, aku bermunajat memohon janji-Mu. Ya Allah tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika kelompok yang kecil dari umat ini binasa sekarang, maka Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini”.

Saat ini kita menyaksikan betapa sombongnya sebahagian kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat kita. Mereka sesuka hati menindas kelompok yang lain. Menafikan hak yang sepatutnya diperolehi, dengan membelakangi perjanjian-perjanjian yang mereka sendiri meterikan sebelumnya.

Hal ini berlaku, tidak lain adalah disebabkan hati-hati mereka diselimuti dengan tamak haloba, persangka buruk dan tidak ingin melihat saudaranya berjaya membangun ummah yang berteraskan kepada tuntutan Islam, sepertimana dikehendaki oleh Allah SWT dan sirah Rasulullah saw.

Kelompok ini tidak ingin melihat Negeri Kelantan “Membangun Bersama Islam” dan terus menerus berpayung di bawah kepimpinan ulamak. Sekaligus tidak ingin melihat Islam berkembang di bumi bertuah ini warisan ulama. Kerana itulah, mereka yang berkalbu kotor, merencana pelbagai helah dan tipu daya untuk menguggat kestabilan penguasa yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

Bahkan mereka sanggup membelakangi perjanjian yang mereka sendiri pernah meterikan. Antaranya menafikan hak rakyat Kelantan untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus. Walhal perjanjian itu sudah jelas mengatakan; bila minyak dijumpai di perairan negeri-negeri, sama ada dalam kawasan tiga batu nautika atau lebih, maka negeri -negeri tersebut berhak untuk mendapat royalti atau wang tunai dari Petronas, bukannya wang ihsan seperti yang didakwa mereka.

Menyedari betapa “kotor”nya permainan kelompok ini , justeru semua peringat rakyat Kelantan telah berhimpun di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, tanggal 28 Januari 2010, mendirikan solat hajat berjamaah, yang diimamkan sendiri oleh Menteri Mesar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, bermunajat kepada Allah SWT, memohon agar tipudaya oleh kelompok tersebut tidak menjadi.

Munajat merupakan sebahagian dari usaha kita untuk mendapatkan kembali hak
rakyat dan kerajaan Kelantan ke atas royalti minyak yang dinafikan. Praktik ini sering dilakukan Rasulullah saw bila berhadapan dengan pelbagai masalah yang menimpa umat Islam ketika itu.

Monday, February 15, 2010

Seigo Murakami San.







Seorang pengkaji budaya dan pecinta alam sekitar dari Jepun, Mr Seigo Murakami, 36, berkunjung ke Galeri Rossem tanggal 15 Februari 2010, sekaligus mencatat pelawat dari Negara Matahari Terbit pertama menjejak kaki di mini galeri yang banyak tersimpan khazanah-khazanah bernilai berupa lakaran-lakaran kartun oleh Rossem sendiri dan lukisan-lukisan cat minyak hasil pelukis-pelukis terkenal tanah air.

Galeri yang dibangun sendiri, dengan biaya sendiri bersebelahan dengan rumah kediaman Rossem, sebagai tempat menyimpan koleksi lukisan-lukisan kartun lama dan baru, kerana menyedari kartun-kartun yang ribuan jumlahnya itu dan pernah tersiar dalam pelbagai akhbar, sebenarnya merupakan rakaman peristiwa yang berlaku sepanjang masa. Sama ada yang terkait dengan politik Malaysia, sosio budaya dan sosial. Hanya datang ke galeri, menatap lakaran kartun, pasti kejadian masa lalu yang panas akan menerjah ingatan, tanpa perlu mencarinya dalam lipatan buku-buku atau surat khabar lama.

Mr Seigo dari kota Fukoka, bersama empat rakannya, Mr Tsutomu Matsumoto, Ms Masumi Kikuchi, Ms Tomomi Kan dan Ms Ayoko Izawa dari NGO Alam Sekitar Jepun akan tinggal di Malaysia selama dua tahun, iaitu di Kota Kinabalu, Sabah. Sementara kunjungannya ke Kelantan bertujuan mengenali dari dekat sosio budaya Negeri Serambi Mekah ini. Di Kelantan mereka tinggal selama tiga bulan bersama keluarga angkat orang Melayu di kampung Peringat. Jalan Bachok, Kota Bharu.

Menariknya, apa yang orang Melayu lakukan, remaja Jepun turut lakukan, termasuk solat. Cuma keluarga angkatnya mengingatkan bahawa solat itu religus bukan budaya. Mr Seigo dan teman-temannya juga sudah pandai berbicara dalam bahasa Melayu.

Semoga kunjungan itu meninggalkan kenangan manis!

Sunday, February 14, 2010

Royalti minyak dan Ku Li



Oleh: Rossem

Di simpang-simpang jalan, tentunya di lokasi strategik, kain-kain rentang bertulisan merah berlatar belakangkan warna putih dengan potret seorang veteran UMNO berdarah raja bergantungan minta dibaca oleh sesiapa saja yang lalu lalang. Tulisannya besar, tidak perlu berhenti kereta, sambil memandu pun boleh difahami maksudnya dengan jelas.

“ Ore Kelantan walaupun sekin (miskin) tapi tak minta sedokah”. Ditulis dalam loghat Kelantan, yang membawa maksud bahawa semiskin-miskin orang Kelantan, namun meminta sedekah tidak sekali-kali.

Teksnya yang simple itu. Bagi orang Kelantan sudah cukup mengerti maksud bicara Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Ia menyindir bossnya sendiri, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana enggan membayar royalti ptroleum sebanyak 5 peratus kepada kerajaan Kelantan setelah sejumlah minyak dijumpai di perairan negeri itu.

Kata Najib; Negeri kelahiran Tengku Razaleigh itu tidak berhak mendapat royalti minyak kerana emas hitam dijumpai di luar tiga batu nautika dari pantainya. Namun kita adalah pemimpin yang prihatin, tidak pernah bersikap menzalimi rakyat. Justeru ada bahagian tertentu untuk rakyat negeri itu. Cuma tidak dinamakan wang royalti. Ia dinamakan wang ihsan. Wang jenis ini nanti akan disalur lewat tangan-tangan UMNO Kelantan sendiri untuk pembanguan negeri itu. Tidak terus kepada yang berhak memperolehinya, yakni Kerajaan Kelantan yang dipilih secara sah oleh rakyat lewat pilihan raya umum lima tahun sekali.

Royalti dengan ihsan itu apa bezanya? Jawaban Mantan Ketua Hakin Negara, Tun Dr. Mohd Salleh Abas, saat saya bertanya pendapat sang tokoh perundangan itu mengenai royalti minyak yang dituntut oleh Kelantan, katanya “Ihsan adalah perkataan Arab yang bermaksud pemberian hasil daripada kemurahan hati atau sedekah. Sedangkan royalti adalah hak yang wajib dibayar sepertimanan termaktub dalam perjanjian”.

Tokoh perundangan yang disegani ramai itu adalah diantara sosok yang bertanggung jawab menyemak draf perjanjiaan antara Petronas dengan negeri-negeri yang terlibat. Wawancara dengan beliau diadakan di Kuala Terengganu pada suatu petang, pertengahan Januari 2010, dalam rangka menyiapkan buku “Royalti Hak Rakyat Kelantan”. Saya sebagai editornya, manakala Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan sebagai penerbitnya.

Kerana itulah Ku Li menyindir, orang Kelantan bukan miskin, perlu menadah tangan untuk meminta sedekah. Orang Kelantan cuma mahukan hak mereka sepertimana termaktub dalam perjanjian yang ditandatangani tanggal 9 Mei 1975, antara beliau sendiri sebagai Pengerusi Petronas ketika itu dengan kerajaan Kelantan yang diwakili Menteri Besar, Datuk Haji Mohamad Nasir (Almarhum).

Juga disebutkan, saat anak raja berjiwa rakyat itu menyampaikan pidato “Kelantan menuntut royalti minyak” anjuran NGO (Gegar) dan Kerajaan Kelantan, di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, Kota Bharu, tanggal 28 Januari 2010 di hadapan lebih 40 ribu rakyat Kelantan yang membanjri stadium sejak dari jam 6.00 petang: Saya hanya mahu menunaikan amanat Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia ketika perjanjian itu dimeteri, bahawa negeri-negeri yang dijumpai minyak diperairannya berhak mendapat 5 peratus royalti.

Sila lihat hansad Dewan Rakyat; Tun Abdul Razak Hussein (Almarhum) berucap. “Tuan Yang di Pertua, semua negeri di Malaysia, melainkan Sabah dan Selangor telah menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagaimana yang dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum,1974. Saya diberitahu Kerajaan Negeri Selangor telah pun bersetuju menandatangani perjanjian ini. Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh Petronas ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontraktornya.”

Perbuatan Ku Li menggunakan pentas PAS bertujuan memperjelaskan kepada seluruh rakyat Malaysia kewajaran kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak sebanyak 5 peratus menimbulkan rasa tidak senang pemimpin-pemimpin UMNO. Ku Li dianggap sudah tidak setia lagi kepada parti yang ia sendiri dokongi, bahkan bercanggah dengan dasar dan pendirian pemerintah. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyebut “Ucapan Ku Li itu akan diteliti, dan masih belum dibawa kepada pihak pengurusan tertinggi UMNO untuk tindakan”.

Menyedari ia bakal dikritik keras, awal-awal lagi sang veteran UMNO itu memberitahu para hadirin, yakni saat memulakan ucapan di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV kelmarin. “Orang marah, saya peduli apa…”. Selanjutnya sang pemberani itu menceritakan, bahawa DYMM Al Sultan Kelantan yang sekarang gering di Singapura sudah pun diberitahu; mahu menyampaikan kepada rakyat Kelantan hal sebenar tentang royalti minyak yang selama ini cuba dibohongi pihak tertentu. Baginda tampak mengangguk-ngangguk kepala dan senyum. Kepada pemangku raja, juga sudah dimaklumkan.

Ku Li, di penghujung usianya masih lagi punya taring yang berbisa. Maka tidak hairanlah kenapa puluhan ribu rakyat Kelantan berdatangan ke stadium Sultan Mohammad Ke-IV untuk mendengar penjelasaanya, sehingga pihak penganjur sendiri pun tidak menduga sama sekali kehadiran khalayak begitu ramai.

Monday, February 8, 2010

Sedikit seputar seni rupa.





Oleh: Rossem

Melukis adalah aktiviti mengolah medium dua dimensi atau permukaan dari objek tiga dimensi untuk mendapat kesan tertentu. Medium lukisan bisa berbentuk apa saja, seperti kanvas, kertas, papan, dan bahkan filem di dalam fotografi bisa dianggap sebagai media lukisan. Alat yang digunakan juga bisa bermacam-macam, dengan syarat bisa memberikan imej tertentu kepada media yang digunakan.

Seni lukis juga disebut seni catan atau seni rupa. Catan atau rupa ialah satu proses menghasilkan seni dengan menggunakan bahan berwarna atau atau cat yang disapu ke atas sesuatu permukaan yang rata. Aktiviti catan membolehkan seseorang menyedari serta dapat merakamkan kesan cahaya pada bentuk, rupa serta susunan yang terdapat pada alam sekitar.

Sejarah catan dikatakan bermula pada Zaman Yunani Purba. Gambaran yang dibuat mengisahkan aktiviti keagamaan. Media yang digunakan ialah mozek dan fresco. Pada Zaman Renaissance yang merupakan zaman kemuncak seni lukis di Eropah, media yang digunakan ialah cat minyak, cat air, fresco dan tempera.

Pada abad ke-20, muncul satu aliran baru dalam persembahan catan iaitu karya seni abstark dan semi abstrak. Di Malaysia, catan mula berkembang sekitar tahun 1930-an. Pelukis yang terkenal ialah Abdullah Ariff dan Yong Mun Sen yang banyak menggunakan media cat air.

Lukisan juga mempunyai banyak aliran. Antara yang terkenal ialah surrealisme, kubisme, romantisme dan plural painting. Namun pelukis-pelukis sekarang, dengan peralatan seni lukis yang serba moden serta memiliki ketajaman kreativiti yang tinggi lagi mengagumkan bisa menghasilkan karya terbaik, sehingga peminat seni lukis terpaksa berdiri lama di depan lukisan yang di peragakan. Tidak puas rasanya menatap karya seperti itu. Terasa seolah-olah berada di dunia lain. Imigenasinya seakan-akan tidak upaya menembusi tembok untuk menangkap makna dari sebuah hasilan seni yang amat mengaggumkan.

Namun, kelebatan apa pun, masih belum mampu menandingi pelukis zaman renaissance, Leonardo Da Vinci. Biarpun dikatakan bahawa peralatan untuk menghasilkan karya pada zaman itu sangat minimum, namun karya pelukis tersohor Eropah itu masih untuh sehingga ke hari ini, walhal sudah melewati banyak dekad. Senyum Mona Liza sama seperti dulu. Mempersonakan!

Pantang melihat Galeri lukisan.

Seni catan adalah kombinasi warna. Hal ini, sesuai dengan fitrah manusia yang sukakan warna-warni dalam kehidupan mereka. Kombinasi warna, berus dan canvas itu kemudiannya menghasilkan sebuah imej yang menarik yang bisa memberi impak yang terbaik kepada naluri manusia. Justeru ramai menganggap, menatap lukisan bisa menghilangkan stress. Bisa merelekskan otak. Memberi kelegaan berganda kepada sang peminat. Maka benarlah seperti kata orang, kalau fikiran anda berserabut, ditimpa banyak masalah, datanglah ke pameran lukisan. Tataplah sepuas hati karya pelukis-pelukis tersohor itu, nescaya fikiran anda jadi damai.

Saya, ke mana pergi pasti meluangkan sedikit masa untuk berkunjung ke galeri lukisan, paling tidak berhenti sebentar, melihat sang pelukis jalanan yang mengarap karya di sudut-sudut tertentu di pinggir jalan atau di bawah pokok, seperti saat berkunjung ke Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia baru-baru ini. Bertemu dengan seorang pelukis yang tekun melukis di bawah sepohon pokok rendang berhampiran Jam Gadang. Sambil melukis ia menjual hasil karyanya. Itulah punca rezeki untuk menyara anak isterinya.

Bila saya memperkenalkan; saya juga seorang pelukis di Malaysia, seberkas senyuman pun dilempar ke arah saya. Tampak ruh persahabatan terukir di wajahnya. Dia meminta saya membeli lukisannya. Namun saya katakan “maaf, sore kelamarin saya sudah membeli tiga lukisan di sebuah galeri di jalan antara Bukit Tinggi ke Danao Malinjau”.

Di sepanjang jalan berhampiran pekan Kota Baru, Bukit Tinggi, terdapat beberapa galeri menjual pelbagai jenis lukisan hasil karya pelukis tempatan. Semua lukisan dihasilkan dari cat minyak dalam pelbagai ukuran, siap dengan frem.

Saya membeli sebuah lukisan surealis, pemandangan sebuah rumah minang di tepi sawah. Menggunakan bahan cat minyak, sayangnya, tanpa dicatat nama pelukis, dengan harga sejuta rupiah. Lukisan selebihnya, juga menggunakan bahan cat minyak tapi kecil sedikit ukurannya dengan harga sekitar setengah juta rupiah, juga tanpa frem. Lukisan-lukisan itu minta digulungkan supaya mudah membawanya menaiki pesawat.

Di pekan itu, selain terdapat tiga buah galeri lukisan, terdapat banyak toko kain. Toko kain menjadi tarikan utama turis. Pelancung dari Malayisa bagaikan terkena hysteria, sebaik saja turun dari bas wisata, terus meluru ke dalam toko. Hanya saya seorang yang berlari ke galeri lukisan yang letaknya bersebelahan. Disambut tuan punya galeri dengan senyum. Tanpa ada pelangan lain di dalamnya.

Demikian juga kalau ke Kuala Lumpur. Masa-masa terluang dihabisi di galeri-galeri lukisan. Bertemu teman-teman di Central Market (CM) atau mengunjungi Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Seperti pada tanggal 7 Februari 2010 lalu di BSLN, menyaksikan pelbagai jenis lukisan daripada pelukis-pelukis tanah air yang diperagakan di lantai tiga. Kagum dengan kreativiti pelukis-pelukis muda terutama pelukis Cina dalam menghasilkan seni catan yang bermutu tinggi. Pelukis Cina lebih berani. Sedang pelukis Melayu masih bertahan dalam kerangka lama. Belum berani menerokai seni rupa yang ekstrem.

Hanya beberapa lukisan hasil karya pelukis dari Persatuan Seni Lukis Kelantan (PESENI), di mana saya juga sebagai Ahli Jawatankuasa, di peragakan di situ, antaranya pelukis cat air yang tersohor di Kelantan juga Malaysia, Ismail Kadir, pelukis cat minyak Imanordin dan Zaidi Yusuf. Yang lain tidak saya temui.

Buka galeri sendiri

Minat yang mendalam terhadap seni rupa mendorong saya membuka galeri sendiri. Sudah tiga tahun mini galeri yang terletak di Lot 1976, Jalan Bachok, Peringat, Kota Bharu itu berdiri. Ada dua bahagian, iaitu sudut kartun dan sudut seni halus (fine art) Diantara lukisan yang diperagakan ialah hasil karya pelukis Zainal Buang Hussain, Muhamad Ismail, Kasbi Sarbini, Imuda dan lain-lain. Dilukis dari bahan cat minyak dan cat air. Manakala lukisan kartun semuannya karya saya sendiri yang pernah terbit dalam akhbar.

Saya berhajat untuk mengumpul lebih banyak lagi lukisan dari pelukis-pelukis terkenal Malaysia, untuk tatapan peminat dan pengunjung.
Sesiapa yang meminati seni lukisan, bolehlah berkunjung ke Galeri Rossem bila-bila masa atau hubungi dulu lewat telefon atau e mail.. (rossemkartun@gmail.com)

Saturday, February 6, 2010

Rasulullah saw: Mahaguru cinta sepanjang masa.



Oleh: Rossem

Umar ibnu Khattab RA suatu hari menangis melihat Rasulullah saw tidur beralaskan tikar kulit kasar yang dijalin daripada remputan, alas yang membuat punggung dan belakangnya berbekas. “Ya Rasulullah, Kisra dan Qaisar tidur beralaskan bantal dan permadani sutera yang lembut, sedangkan kondisimu di sisi Allah SWT lebih mulia….”. Setiap kali Umar mengingatkan itu, air matanya membasahi pipi.

Melihat itu sahabatnya bertanya “Wahai Umar, Apakah engkau tidak redho mereka mendapatkan dunia sedangkan kita berhak ke atas akhirat?” Jawab Umar. “Ya. Kisra dan Qaishar cuma berjaya menaluki rakyat, tentera dan wilayah, sedang kita berjaya menaluki hati untuk mengesakan Allah”.

Saat di kota Mekah, sebelum berangkat berhijrah ke Madianah adalah hari-hari ujian. Setiap kabilah berlumba-lumba untuk menyiksa Rasulullah saw dan para pengikutnya dengan pelbagai seksan. Cerita nestapa tentang Bilal, keluarga Yassir, Sumayyah dan Ammar, juga tentang Khabbab, pandai besi yang dipanggang di atas bara api sehingga bara dan besi panas itu padam sendiri kerana tetesan cecair yang keluar dari tubuhnya yang melepuh terbakar. Luar biasa!

Kekuatan menghadapi cubaan seksaan itu tidak lain kerana kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah saw sehingga keimanan mereka sedikit pun tidak terluntur oleh apa jua bentuk seksan yang dikenakan ke atas mereka walau sekeras mana pun.

Hijrah adalah pengorbanan yang begitu menghiris perasaan. Sebuah perjalanan tanpa harapan, tidak jelas. Tidak tahu apakah di tempat baru itu mereka bisa diterima atau tidak. Sedang rumah yang nyaman, keluarga yang disayangi harus ditinggalkan untuk mengejar ketidakjelasan. Apalagi Madinah bukan empat yang menjanjikan. Namum mereka harus lakukan. Demi kecintaan kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah saw.

Shubaib ibn Sinan, imigran Romawi yang berjaya membangunan usahannya di kota Mekah harus meninggalkan kesuksesan itu. Tapi dimensi keimanan ternyata mengatasi segala. Sebuah kalimat di lisan RasulNya berbunyi “Rabiha Shuhaib” Shuhaib beruntung, Shuaib beruntung!”. Akhirnya Shuhaib al Rumi berangkat ke Madinah meninggalkan perusahaan yang dibangunkan.

Hijrah juga menyisipkan kisah keberanian Umar ra yang berangkat terangan-terangan. Ia tidak ingin seperti orang lain yang berangkat sembunyi-sembunyi. Pemuka Quraisy pun berseru “ Saksikanlah oleh kalian bahawa Ibnul Khathtab akan berhijrah. Siapa yang ingin isterinya menjadi janda, anaknya menjadi yatim atau ibunya meratapi kematiannya, silakan menemuiku di balik bukit ini”

“Katakanlah hai Muhamad: Jika kalian mencintai Allah, maka ikutilah dia, Maka Allah akan mencintai kalian dan Dia mengampuni segala dosa kalian. Da Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Q.S: Ali Imran 31)

Atas nama cinta, Allah SWT bicara pada hamba-hambaNya lewat lisan Rasulullah saw yang mulia, agar mereka menjadikan cinta kepada Allah SWT sebagai ernegi bila setiap kali berdepan dengan pemasalahan dalam menempuh kehidupan yang bersifat sementara di planet bumi ini. Cinta yang dibalas cinta, keampunan dan keridhaan. Hanya Itu yang dijanjikan.