Sunday, October 25, 2009

Pak Din juga pejuang?


Oleh: Rossem

Kecapetan masih terasa. Badan masih lemah. Panorama Kg Bagan Pinang dengan deretan rumah-rumah tradisonal Melayu Negeri Sembilan dan banglo moden berbaris di sepanjang jalan yang sempit masih terbayang di ruang mata. Rumah Pak Din masih segar dalam ingatan. Juga wajah Pak Din yang sangat bersahabat.

Pak Din atau nama sebenar Jamaluddin sangat bejasa kepada sebuah perjuangan yang dimunculkan dalam sebuah masyarakat yang belum mengenali apa itu perjuangan Islam. Di tengah-tengah masyarakat seperti ini, hal-hal yang melibatkan hukum Islam terutama soal politik kenegaraan sering dihujah dengan seribu argumentasi yang mengeliru dan membingungkan oleh kaum sekular. Pak Din melewati detik-detik pahit seperti itu dengan sabar dan istiqamah. Ia sedar bahawa membantu perjuangan Islam akan berdepan dengan risiko, dileceh masyarakat dan diawasi para pemuka serta pendokong partai sekular, namun beliau tidak mahu kepatahan sayap dalam melebarkan ruh Islam terhadap lingkungannya. Biar seribu risiko, namun Pak Din tidak takut, apalagi mundur!.

Pak Din telah mendahului masyarakat di desanya Bagan Pinang dalam memahami apa erti kesyumulan Islam. Menurutnya Islam dan siasah tidak pernah terpisah walau sedetik. Ia tetap menyatu. Seperti penyatuan ombak Selat Melaka dan pantai Port Dickson pada setiap saat.

Dalam rumah Pak Din, yang separuh batu dan separuh kayu, sederhana tapi kemas, mantan tentera darat Malaysia itu mengantungkan potret Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada dinding ruang tamu. Wajah ulamak itu seolah-olah merenung kami saat saya berbicara dengan Pak Din.

Potret Tok Guru itu tampak sedikit pudar warnanya. Mengambarkan usia pembikinannya. Dirakam saat mula menjadi Menteri Besar Kelantan-1990. Barangkali sudah lama tergantung di situ. Sekaligus memberitahu kita bahawa minat pesara tentera berusia 63 tahun pada sang tokoh itu bukan hanya baru setahun dua ini, pastinya sama usianya dengan potret itu dikeluarkan.

Saya telah menghadiahkannya sebuah potret baru Tok Guru yang berukuran lebih besar, siap dengan fremnya sekali, bagi mengantikan potret yang sedikit lusuh. Beliau senang sekali dengan hadiah itu, lantas dipeluknya saya. Namun saya bisikkan “ Exco Penerangan, Pembanguan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan yang meminta saya sampaikan kepada Pak Din”.

Di Malaysia hanya sebuah saja parti politik yang mengambil Islam sebagai dasar perjuangannya, iaitu Parti Islam Semalaysia (PAS). Parti itu telah memenuhi tuntutan Islam yang mengkehendaki agar urusan pemerintahan negara tidak terpisah dari agama. PAS telah berjuang untuk membetulkan persepsi salah ummah selama ini bahawa “agama suku dan politik suku” yang sekian lama ditanamkan kaum kolonil Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ke dalam minda umat Melau /Islam selama kurang lebih 500 tahun adalah sebuah doktrin yang salah menurut Islam. Dan Pak Din telah mendahului yang lain dari kalangan warga di desanya dalam memahami Islam menurut sirah Rasulullah saw. Beliau kemudianya menjadi pendokong setia PAS! Seorang pemberani disaat orang lain dalam lingkungannya takut untuk mengklaimkan diri mereka sebagai Orang PAS.

Untuk apa menyertai PAS? Kerana matlamat penubuhan parti itu sangat jelas. Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)” (Q. Ali-Imran 3:104)

Pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar tidak akan terlaksana jika umat Islam tidak mempunyai kuasa (Kerajaan), kerana kerajaan saja yang dapat melaksanakan perintah dan larangan, apalagi untuk mempraktikkan perundangan Islam, oleh kerana itu, kita memerlukan kuasa kerajaan, maka untuk mendapatkan kuasa kerajaan haruslah lewat jalur politik. Tanpa politik, sesebuah jamaah Islamiyah hanya akan menjadi jamaah dakwah seperti ABIM atau Jamaah Tabligh saja, malah untuk mewujudkan jamaah seperti itu pun perlu berdaftar mengikut undang-undang negara ini.

PAS di Negeri Sembilan baru bertatih. Sedangkan di Kelantan sudah lama bertapak. Di Kelantan ditubuhkan ekoran daripada penubuhan PAS Pusat di Butterworth 1951 sebagai cetusan semangat perjuangan Islam yang dipelopori Pertubuhan Hizbul Muslimin di Gunong Semanggol, Perak, dan perjuangan Islam yang dipelopori MASYUMI di Indonesia ketika itu.

Nama Gunong Semanggol sangat sinonim dengan perjuangan Islam. Sehingga penjajah Inggeris pernah mengingatkan “bahaya dari gunung”. Yang dimaksud “gunung” ialah Gunong Semanggol, di Perak.

Dan Pak Din dari Bagan Pinang, juga asalnya dari Gunong Semanggol, Perak. Isterinya saja tempatan. Justeru tidak hairan semangat “Gunong Semanggol” masih melekat dalam jiwanya, sehingga merelakan halaman rumahnya digunakan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan sebagai tapak Pameran Kenali Kelantan 2009 selama 10 hari, meskipun masyarakat sekitarnya khususnya dari UMNO melihatnya bagaikan harimau mahu menerkam.

Pak Din bertuah, sepanjang 10 hari itu rumahnya dikunjungi tetamu yang sebelum ini tidak pernah terbayang bahawa suatu hari akan bersilaturahim ke rumahnya. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Ahmad Yakob, Exco-Exco seperti Dato’ Haji Husam Musa, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah, Dr Mohamed Fadzli Dato’ Hassan, Haji Abdul Fattah Mahmood, Mejor (B) Md. Anizam Abd Rahman, Haji Che Abdullah Mat Nawi dan Hjh Wan Ubaidah Omar. Juga beberapa Wakil Rakyat dari Kelantan.

PAS memerlukan lebih ramai sang pemberni seperti Pak Din untuk kelangsungan perjuangan Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Wednesday, October 21, 2009

Tahniah SBY. Semoga Malaysia-Indonesia tambah akrab

Oleh: Rossem

Akhirnya Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), mantan jeneral, 60, diangkat menjadi Presiden Republik Indonesia bagi penggal kedua untuk tempoh 2009 -2014. Pasangan duetnya, Boediono pula sebagai Naib Presiden. Keduanya memenangi pilihan raya presiden dan naib presiden yang berlangsung 8 Julai lalu.

Pada pemilihan tersebut, saingannya, Megawati Soekarnoputri - Prabowo Subianto dan Jusuh Kalla-Wiranto kalah. SBY- Boediono menang besar.

Rakyat Malaysia merasa lega dengan kemengangan SBY, seorang pemimpin yang cool, tidak cepat emosioal. Kemenangan itu sekurang-kurangnya memberi impak lumayan buat hubungan antara dua negara serumpun bangsa dan budaya, yang mutakhir ini sedikit suram.

Hari ini (20 Oktober 2009), berlangsung majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden SBY, disaksikan lebih 220 juta rakyat Indonesia lewat siaran langsung oleh hampir semua stesen televisi Indonesia. Tambah menarik, majlis keramat itu dihadiri Perdana Menteri Malayia (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak. Kehadiran PM di tengah-tengah suhu kebencian mendalam sebahagian rakyat Indonesia terhadap Malaysia sekurang-kurang bisa menjernihkan kekeruhan hubungan antara dua negara.

Sebuah foto, SBY bersalam dengan Najib yang disiarkan dalam Koran Malaysia, Utusan Malaysia dengan masing-masing melontar senyum, memberi makna yang mendalam bahawa, dua rumpun bangsa yang seagama, sebudaya dan sebahasa ini tidak bisa dipisahkan meski dengan terjahan tsunami apa pun dan sampai kapan pun.

Makna disebalik gengaman tangan dan senyuman itu ialah sebuah pengakuan bahawa kita tetap bersaudara, walaupun terdapat wajah-wajah hodoh yang cuba mengadu domba, memicu persengketaan.

“Kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan tulus ikhlas. SBY sendiri mengucapkan terima kasih dan memberitahu sebagai balasan Malaysia menjadi negara pertama akan dilawati iaitu tanggal 11 November ini” Ujar Najib setelah ditanya media.

Malaysia dan Indonesia sentiasa mencari jalan dalam menyelesaikan sebarang isu berbangkit. Problem yang dihadapi kini ialah hubungan antara rakyat berikutan terdapat kelompok kecil yang terpengaruh dengan liputan media, sedangkan hubungan antara kepimpinan kedua-dua buah negara serumpun sememangnya dalam kondisi baik dan selesa.

Hakikatnya persengketaan yang disebabkan perebutan budaya antara dua negara sangat menyedihkan kita, kerana Indonesia dan Malaysia, seperti kita ketahui, merupakan dua negara yang saling berkongsi budaya dan adat resam satu sama lain. Tidak wujud tiru-meniru atau pengambilan hak pembudayaan tradisi antara masyarakat kedua-dua negara ini.

Misalnya, masyarakat Indonesia asal Sumatera Barat yang telah berhijrah ke Negeri Sembilan beratus-ratus tahun dulu, bebas mempraktikkan adat istiadat mereka. Masyarakat Jawa yang berhijrah ke Selangor dan Johor juga demikian. Bahkan, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengariskan bahawa satu-satu kaum yang berhijrah antara satu perbatasan dengan perbatasan yang lain, berhak membawa budaya dan cara hidup tradisi, samada menerusi bahasa, muzik atau pembudayaan lain.

Oleh itu soal budaya tidak seharusnya dipermainkan oleh media Indonesia sehingga Malaysia tampak sebagai sebuah negara yang hanya bersifat mempertahankan hala tuju pembudayaan sendiri.

Dengan perlantikan SBY memimpin bangsa Indonesia, rakyat Malaysia mengharapkan situasi dan kondisi hubungan antara dua bangsa serumpun bisa dijernihkan kembali. Kerana kita tahu, SBY seorang yang sentiasa mendepani keakraban. Kita tidak mahu mengulangi sejarah persengketaan panjang dan meletihkan seperti berlaku di era Presiden Sukarno- 1960an.

Thursday, October 15, 2009

Jangan tanya siapa menang, tanyalah siapa kena pukul.


Oleh: Rossem

Kumpulan pemuda bermotorsikal itu melewati jalan-jalan sempit di Kg Bagan Pinang, Port Dickson setiap petang, sambil membawa bendera besar yang belambang bulan purnama, saya melihat sendiri aksi mereka saat berdiri di situ, di hadapan tapak pameran “Kenali Kelantan 2009” anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.- lokasinya di tengah-tengah perkampungan tradisional Melayu Bagan Pinang. Bendera hijau dengan lingkaran buatan berwarna putih berkibar megah di tiup angin sejuk dari pantai Port Dickson ketika bendera kemegahan PAS itu diarak.

Mereka bukan Mat Rempit, bukan juga pelumba haram. Mereka adalah para pendokong PAS yang terpanggil untuk menyatakan bahawa “kami adalah sebahagian dari perjuangan anda”.

Kenapa justeru menyatakan sebahagian dari perjuangan anda? Kerana para pembawa bendera bermotorsikal itu terdiri non-Muslim, dari kalangan pemuda-pemuda India yang benci kepada Barisan Nasional (BN). Mereka bangga dan telah menjadi pendokong PAS (PR). Aksi ahli kelab penyokong PAS itu berjaya menarik perhatian khususnya petugas parti PAS dari Kelantan yang turut datang berkempen di Bagan Pinang selama 10 hari.

Sokongan dari etnik India terhadap PAS sangat terserlah di kawasan pilihan raya kecil Bagan Pinang, kecuali di kawasan perladangan, kerana gerakgeri mereka sentiasa diperhatikan dan cuba dihalang daripada mendekati petugas Pakatan Rakyat (PR). Selain konvoi bermotosikal, mereka juga ikut hadir pada setiap ceramah parti tersebut. Terserlah juga ialah sokongan peringkat akar umbi dari kaum Cina, walaupun mereka tidak banyak terlibat dalam berkempen, namun setiap kali bertemu petugas PAS di pinggir jalan atau pos parti, diangkat ibu jari tanda sokongan.

Yang sedikit mendukacitakan ialah sokongan daripada orang Melayu tempatan tehadap parti PAS tersangat menimum. Di dalam Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang terdapat 13 ribu pengundi, 70 peratus adalah orang Melayu. Tapi cawangan PAS hanya ada empat buah saja. Sementara Ketua-Ketua Cawangan, setiausaha, jawatankuasa, bahkan Yang Dipertua Kawasan ramai diantaranya dipegang bukan penduduk asal Negeri Sembilan. Kebanyakannya asal Kelantan dan Kedah yang bekerja atau berkahwin dengan penduduk tempatan dan menetap di kampung tersebut. Juga terdapat dari kalangan bekas-bekas tentera yang memilih menetap di Bagan Pinang selepas tamat perkhidmatan.

Kelemahan diperingkat akar umbi itu menyebakan petugas PAS tidak dapat membuat culaan terhadap pengundi di kawasan masing-masing. Hal ini sangat menyukarkan mereka menjalankan tugas berkempen sepanjang 10 hari dari 2 sehingga 10 Oktober lalu.

Yang mengerakkan kempen rata-rata petugas-petugas PAS dari luar yang didatangkan ke Bagan Pinang. Petugas-petugas ini meskipun punya pengalaman luas dalam uslub kempen kerana pernah menjalankan tugas yang sama di tempat-tempat lain sebelum ini, namun tanpa pandun tepat daripada jentera parti tempatan pasti tidak dapat menjalankan tugsan dengan sempurna dan menepati sasaran. .

Petugas luar, lebih banyak melakukan kempen secara rambang, terutama dalam program dari pintu ke pintu. Cara demikian pasti merugikan masa, memandangkan tempoh berkempen yang singkat-hanya 10 hari. Sasaran yang harus diutamakan ialah pengundi “atas pagar”. Namun oleh kerana sistem culaan yang sudah lama dipraktikkan oleh PAS dan ternyata sangat berkesan itu terabai di sini, maka jentera kempen tidak dapat mengenal pasti siapa individu di atas pagar dengan tepat supaya mudah didekati.

Kelemahan-kelemahan ini sememangnya terserlah sejak awal kempen lagi, ditambah pula dengan undi pos yang pastinya memihak kepada BN, justeru kekalahan PAS pada PRK Bagan Pinang tidaklah memeranjatkan. Sesuatu yang sudah dijangka, dan pihak PAS menerima kekalahan itu dengan berlapang dada. Ia satu cabaran dan ransangan baru untuk bekerja lebih kuat di hari-hari mendatang.

Selanjutnya, pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan berlakunya provoksai yang melampau, sehingga PRK itu tercemar dengan pergaduhan. Ia berlaku setiap hari, seolah telah dirancang. Petugas-petugas PAS dipukul tanpa sebab, bendera dan lambang parti tu di koyak dan dibakar di beberapa tempat. Serangan ke atas pos-pos Bulan Purnama berlaku serentak di lokasi yang kurang kawalan, menyebabkan parti itu terpaksa mengerahkan lebih ramai petugas untuk menjaga pos-pos mereka. Serta mengiringi petugas-petugas al nisa dan muslimat saat bersilaturahim ke rumah-rumah warga.

Budaya samseng yang dipraktikkan UMNO telah meletakkan PRK Bagan Pinang yang terburuk pernah dialami dalam siri-siri pilihan raya kecil atau pilihan raya umum dekad ini. Hal ini mengingatkan kita kepada era 60an atau 70an, yakni era Pemuda Tahan Lasak mengugut dan menakut-nakutkan pengundi lawan agar jangan keluar mengundi, sehingga jambatan (gertak) pun dibakar.

Dua tiga hari terakhir kempen adalah saat kritikal, setiap petugas PAS diterjah kekhuatiran akan kemungkinan diserang bila-bila masa. Beberapa teman yang tiada berkesempatan ke Bagan Pinang lalu mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanya; apakah PAS kemungkinan akan menang? Saya jawab “ Kami di sini tidak memikirkan parti mana akan menang. Yang kami fikirkan ialah siapa yang akan kena pukul atau tumbuk selepas ini”.

Begitulah bila demokrasi sudah dicemari oleh tangan-tangan yang mengagungkan demokrasi itu sendiri. Yang difikirkan adalah kemenangan cuma!